-->

Diganggu Di Tempat Tugas...



Nama saya "M" dan saya ingin berkongsi pengalaman saya yang terjadi pada saya bulan lepas pada satu malam Jumaat. Kisah ini terjadinya di tempat kerja saya di sebuah depot minyak di daerah Sembawang. Cerita orang-orang "lama" katanya. Tempat yang kami bekerja ini agak keras dan tak patut kalau kita melanggar pantang2 yang sering diamalkan orang2 "lama" yang sememangnya berpuluhan tahun lamanya bekerja di tempat yang dimaksudkan. Di tempat kerja saya tidak mengira pagi petang ataupun malam, memang suasananya menyeramkan. Cuba bayangkan kalau tempat pekerjaan anda dipenuhi dengan pohon pisang, keramat lama dan pernah menjadi tempat kurungan orang tahanan di zaman peperangan dahulu.

Pada satu malam Jumaat, saya ditugaskan untuk menjaga shif malam bersama kawan saya. Dan seperti biasa, kami siapkan barang2 yang patut disempurnakan untuk keesokan harinya. Setelah selesai, saya dan kawan saya berborak dan menunggu saatnya ketua kumpulan di tempat tugas kami menghantar makanan malam. Di pendekkan cerita, jam dinding menunjukkan 4:50 pagi. Dan ketika itu, mulalah mata terasa ngantuk. Saya dan teman bercadang untuk rehat untuk seketika sementara tunggu tibanya jam menunjukkan 6:00 pagi. Kawan saya mengambil kerusi dan melelapkan mata di hadapan dengan belakangnya menghadap saya, dan mula pejamkan mata yang sememangnya dah terlalu penat.

Setelah beberapa minit berlalu, saya terasa sangat sejuk, diikuti dengan merasakan bulu roma saya mula meremang. Saya bertawakkal dan anggap hanya permainan perasaan sahaja. Kawan saya ketika ini sudah terlena dibuai mimpi. Saya berasa tidak sedap hati, mungkin tidak selesa dengan posisi badan untuk tidur. Saya bangun dari kerusi saya, dan menuju ke arah stor untuk mengambil kerusi yang lain. Setibanya saya di stor, saya ternampak satu kerusi biru yang agak teruk keadaannya, seumpama seperti lama tak digunakan. Melihat kerusi itu, saya teringat atas pesanan seorang haji yang pernah menasihati saya supaya jangan mengambil kerusi itu kerana ada "penjaganya". Oleh kerana terlalu penat, saya mengambil kerusi itu dan terus membawa keluar untuk dijadikan tempat merehatkan kaki saya.

Setelah beberapa minit kemudian, akhirnya saya dapat melelapkan mata. Sedang saya terlena tidur, saya dikejutkan dengan perasaan sejuk dan suara berdesing di telinga saya, ketika itu, saya masih berada dalam keadaan separuh sedar. Tiba-tiba, mimpi ataupun bukan, saya ternampak kelibat seseorang berjubah berdiri tegak di hadapan saya. Tergamam saya dibuatnya apabila melihat lembaga itu. "Benda" itu berhadapan dengan saya, dan mukanya ditutup seperti berpurdah, cuma yang ini serba putih. Yang lebih menyeramkan ketika itu, bentuk mukanya seolah-olah merupai ibu saya walaupun tidak dapat melihat dengan jelas. Saya pasti bahawa itu kelibat ibu saya. Makhluk ini menyampaikan pesanan kepada saya yang disebut olehnya, "Orang tua-tua pesan, kalau tidur, kepala jangan pusing ke kiri..." Sejurus selepas "dia" berkata demikian, kepala saya yang mulanya menghadap ke depan, ibarat dipaksa menoleh ke kiri dan seluruh anggota badan saya seperti terkunci dari sembarang pergerakan.

KC, saya pasti saya bukan bermimpi. Ketika saya melihat di hujung mata kiri saya, saya melihat seolah-olah ada kain putih yang berdiri di sebelah saya. Saya cuba toleh beberapa kali tetapi sia -sia sahaja. Di saat ini, yang mampu saya buat ialah cuba bermain dengan mata saya, cuba melihat teman saya yang sedang sedap tidur di hadapan saya. Dengan penuh tenaga saya cuba pekik nama kawan saya beberapa kali, tetapi tidak berhasil, padahal saya sendiri dapat merasakan bahawa saya benar2 pekik meminta tolong pada teman saya. Tapi terbukti bahawa percubaan saya hanya sia-sia. Seluruh badan saya tidak dapat bergerak. Saya cuba menendang kerusi biru yang saya gunakan untuk merehatkan kaki, namun saya tetap gagal untuk bergerak.

Saya cuba baca apa yang saya tahu, tetapi benda ini jenis yang tidak mahu menyerah kalah. Akhirnya saya seru nama Allah, dan memaksa dengan penuh tenaga saya untuk melepaskan diri. Terlepas juga saya dari genggaman"nya". Sebelum saya dapat bergerak seperti sediakala sepenuhnya, makhluk itu meyampaikan pesan yang ringkas di telinga kiri saya, dengan suara wanita yang kurang jelas seperti jauh, bersamaan dengan bunyi seperti "bzzzzz" dan sayu sekali, dia berpesan dengan saya, "Jangan ambil harta aku" dan pergerakan saya akhirnya kembali sediakala. Dengan secara spontan, kawan saya bangkit dari tidur ketika terdengar azan bergema tanda masuknya waktu solat Subuh. Dia melihat saya dalam keadaan pucat dan berpeluh. Apabila diajukan soalan kepada saya, saya cuma berkata tidak ada apa2 yang berlaku...

Itu sahaja kisah yang saya alami pada malam itu. Yang pasti, kejadian ini bukanlah khayalan tapi kenyataan. Sekian Assalamualaikum
 
 
 
LihatTutupKomentar